Tertuduh (kiri) ditemani peguam ketika hadir di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tertuduh (kiri) ditemani peguam ketika hadir di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Bekas pengarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan membabitkan kesalahan menyalah gunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM6,797.50 lima tahun lalu.

Tertuduh, Saifulkahar Shariff, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 12, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan dengan meluluskan 12 Borang Permohonan Perolehan (Bekalan/Perkhidmatan/Kerja) (PTD/01/03) bagi pembelian tiket kapal terbang bagi isteri dan anak lelakinya dari Tawau ke Kuala Lumpur dengan nilai keseluruhan berjumlah RM6,797.50.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Pengajian Berterusan di Ibu Pejabat KPTM, Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat KPTM Cawangan Semporna, antara November 2017 sehingga Ogos 2018.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Nurul Izzati Sapifee yang menawarkan jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan bersama beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh dikehendak melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan selain paspot antarabangsa diserah kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Siti Nurul Ain Sahidah Pitting yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan wang jaminan yang rendah iaitu RM5,000 mengambil kira faktor anak guamnya mempunyai tanggungan menyara isteri dan enam orang anak selain turut menanggung perbelanjaan adik beradik dan ibu di kampung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 8 April depan untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 2:56 PM