Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Pengurus besar sebuah agensi kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,110, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Rudi Abd Rashid, 47, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Rudi sebagai pegawai badan awam iaitu Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E29, yang bertugas sebagai Pengurus Besar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM8,110.

Tertuduh didakwa meluluskan Baucer Bayaran bernombor BB021900065 berjumlah RM8,110 kepada Syarikat Pemborong Putramas yang dimiliki Mohamad Sadeed Mohamad Said, untuk bayaran Penyediaan Keperluan sempena Lawatan Mesyuarat LPP/MOA/JPA seramai 30 orang pada 28 hingga 31 Oktober 2018 sedangkan kerja-kerja berkenaan dilakukan tertuduh sendiri.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat PPK Semporna pada 26 Februari 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

AHMAD Rudi (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, atas pertuduhan rasuah. FOTO  Abdul Rahemang Taiming
AHMAD Rudi (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, atas pertuduhan rasuah. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, menawarkan jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa Malaysia dan diarah melapor diri di pejabat SPRM Tawau sebulan sekali selain dilarang mendekati saksi-saksi berkaitan dalam kes ini.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, memohon wang jaminan dikurangkan kerana mengalami masalah kesihatan termasuk penyakit diabetis, kolestrol dan saraf selain terpaksa menanggung empat anak berusia antara 12 hingga 20 tahun serta isteri.

Hakim kemudiannya menetap jumlah wang jaminan sebanyak RM8,000 (deposit RM4,000.00) dengan seorang penjamin berserta dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 24 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 12:02 PM