Asmah Mohamed. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Asmah Mohamed. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Sumbangan ini amat bermakna bagi penghuni pusat jagaan kami terutama warga emas yang kebanyakannya tidak mempunyai waris," kata Pengasas Comfort Ville Care Centre, Asmah Mohamed.

Asmah berkata, terpilih sebagai penerima sumbangan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas adalah satu rahmat bagi penghuni pusat jagaan itu.

Menurutnya, sumbangan barangan makanan dan wang tunai itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menampung keperluan seramai 60 penghuni pusat jagaan berkenaan.

"Hanya segelintir penghuni pusat jagaan kami berwaris, bakinya tidak memiliki keluarga dan tidak dapat menyumbang yuran bulanan.

"Kami menampung sebahagian kos dengan yuran dibayar waris termasuk bagi membayar gaji pekerja, selebihnya kami mengharapkan sumbangan diterima.

"Antara keperluan utama pusat jagaan berkenaan adalah lampin pakai buang, susu serta barangan dapur," katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu semalam.

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarah Eksekutif KARA Holdings Sdn Bhd (KARA) Abd Rahman Md Dawi.

Hadir sama Pengerusi KARA Holdings Sdn Bhd, Mohd Faris Adli Syukery; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abd Malek dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.

Program itu turut diadakan Majlis Pembukaan Kedai Ayamas ke-76 Bandar Dato' Onn sempena pelancaran TKHM bersama Kedai Ayamas.

Program TKHM menjangkau usia 15 tahun dan menjadi tanggungjawab sosial korporat Harian Metro sejak 2007.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Johor (Rumah Barkat),

Hendon Abdullah, berkata inisiatif TKHM dan Kedai Ayamas seharusnya dicontohi pelbagai pihak.

Menurutnya, setakat ini Rumah Barkat memiliki 120 penghuni dan menerima bantuan daripada pelbagai pihak terutama ketika situasi pandemik Covid-19 yang mencabar ini.

"Antara barangan yang diperlukan bagi menampung keperluan penghuni termasuk pakaian, barangan kegunaan harian dan makanan.

"Kami juga mengalu-alukan sumbangan kit ujian kendiri Covid-19 bagi memastikan sama ada penghuni kami bebas daripada jangkitan dan bagi mengelakkan penularan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 5:48 PM