Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Kedai Ayamas diteruskan lagi dengan meraikan 62 penghuni Rumah Titian Kaseh (RTK) di Persiaran Titiwangsa di sini, kelmarin.

Pusat jagaan itu dikendalikan 15 penjaga yang menempatkan anak yatim, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

PENGHUNI RTK diraikan pada majlis TKHM siri jelajah bersama Kedai Ayamas di Persiaran Titiwangsa, kelmarin.
PENGHUNI RTK diraikan pada majlis TKHM siri jelajah bersama Kedai Ayamas di Persiaran Titiwangsa, kelmarin.

Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad berkata, program itu adalah siri jelajah bersama Kedai Ayamas dan kali ini menyantuni penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Menurutnya, selain dapat menyantuni penghuni rumah kebajikan itu, program berkenaan turut memberi sumbangan wang tunai dan barangan makanan.

"Ini adalah siri jelajah keenam dan kita ada lagi tiga lokasi termasuk di Terengganu dan Perak pada Oktober serta November depan.

"Kedai Ayamas adalah rakan korporat Harian Metro yang sentiasa bekerjasama dalam tanggungjawab sosial korporat untuk menyantuni golongan memerlukan.

"Kita amat berterima kasih kepada Kedai Ayamas atas sokongan diberikan dan berharap dapat terus menyantuni serta berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan di negeri lain pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di rumah kebajikan itu.

NOOR Azam (kiri) bersama Husain (tiga dari kiri), Mohamad Izham (tengah)   serta  Abd Rahman  (tiga dari kanan) menyantuni anak-anak penghuni RTK. - Gambar NSTP/ASWADI ALIAS
NOOR Azam (kiri) bersama Husain (tiga dari kiri), Mohamad Izham (tengah) serta Abd Rahman (tiga dari kanan) menyantuni anak-anak penghuni RTK. - Gambar NSTP/ASWADI ALIAS

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Kedai Ayamas Abd Rahman Md Dawi, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas Mohamad Izham Mohamad Haroun, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit, Pengasas RTK Sharifah Adlan dan Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Abd Rahman berkata, pihaknya menghargai peluang diberikan Harian Metro untuk bersama-sama menyantuni rumah kebajikan dan masyarakat memerlukan.

Menurutnya, ia sebahagian daripada objektif syarikat untuk menyokong aktiviti kemasyarakatan di samping memberi peluang pekerjaan dan membangunkan ekonomi negara.

"Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini untuk menyalurkan lebih banyak sumbangan hasil daripada jualan di Kedai Ayamas," katanya.

Sementara itu, Sharifah bersyukur rumah kebajikannya terpilih menerima sumbangan program TKHM Bersama Kedai Ayamas.

Katanya, Harian Metro satu-satunya akhbar yang memberikan sokongan secara berterusan sejak rumah kebajikannya beroperasi 26 tahun lalu dan berharap lebih banyak syarikat korporat akan turut sama tampil memberikan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 7:00 AM