Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas kembali ke negeri ini dengan menyantuni dua rumah kebajikan sempena Majlis Pembukaan Kedai Ayamas ke-76 di Bandar Dato' Onn di sini, semalam.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, rumah kebajikan terbabit ialah Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Johor atau Rumah Barkat dan Pusat jagaan warga emas, Comfort Ville Care Centre.

Katanya, sebagai media arus perdana yang berusia 31 tahun, Harian Metro terus menyantuni pelbagai lapisan masyarakat terjejas akibat Covid-19 menerusi penganjuran TKHM.

Beliau berkata, TKHM memainkan peranan utama membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik dan berbesar hati ia dijayakan bersama KARA Holdings Sdn Bhd (KARA) dan Kedai Ayamas.

MOHD Faris (dua dari kanan) dan Husain (dua dari kiri) bersama penerima sumbangan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
MOHD Faris (dua dari kanan) dan Husain (dua dari kiri) bersama penerima sumbangan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Harian Metro melalui TKHM bersama Kedai Ayamas menyumbang wang tunai dan produk keluaran syarikat itu serta Kotak Rezeki berbentuk barangan keperluan asas.

"Diharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka ketika berdepan keadaan ekonomi tidak menentu kini.

"Apa yang kami harapkan selepas ini lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan seperti anak yatim dan warga emas," katanya.

DARI kiri, Mohd Faris, Abd Rahman, Husain dan Yusri melihat pelbagai jenis ayam panggang dijual di Kedai Ayamas di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
DARI kiri, Mohd Faris, Abd Rahman, Husain dan Yusri melihat pelbagai jenis ayam panggang dijual di Kedai Ayamas di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KARA Holdings Abd Rahman Md Dawi berkata, kerjasama melalui program TKHM adalah satu peluang kepada syarikat korporat menyumbang kepada masyarakat.

Menurutnya, jalinan kerjasama antara Harian Metro dan Kedai Ayamas berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik yang memasuki tahun kedua akan diteruskan pada masa depan.

Katanya, jalinan kerjasama sejak tahun lalu memberi peluang kepada pihaknya berkongsi keuntungan dengan masyarakat termasuk golongan memerlukan.

"Johor Bahru antara satu daripada sembilan lokasi dalam siri jelajah di bawah TKHM Bersama Kedai Ayamas. Lapan lokasi lain adalah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Lembaga Klang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

DARI kiri, Pengarah KARA Holdings Sdn Bhd, Mohammed Izzuddin Rosli, Mohd Faris, Abd Rahman dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas, Mohamad Izham Mohamad Haroun ketika Majlis Pembukaan Kedai Ayamas ke-76, semalam. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
DARI kiri, Pengarah KARA Holdings Sdn Bhd, Mohammed Izzuddin Rosli, Mohd Faris, Abd Rahman dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas, Mohamad Izham Mohamad Haroun ketika Majlis Pembukaan Kedai Ayamas ke-76, semalam. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Kedai Ayamas juga akan melaksanakan Program Titipan Kasih Khas Bubur Lambuk pada Ramadan ini.

"Ia usaha murni dan kami berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi meneruskan kerjasama meskipun saya dimaklum banyak syarikat besar ingin turut serta dalam TKHM," katanya.

Majlis dihadiri Pengerusi KARA Holdings Sdn Bhd Mohd Faris Adli Syukery, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abd Malek dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Program TKHM kini menjangkau usia 15 tahun dan menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro sejak 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 7:30 AM