FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sejak dua minggu lalu menyebabkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bertambah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, peningkatan itu berkait pesakit Covid-19 Kategori 3, 4, dan 5, namun jumlahnya tidak membimbangkan.

"Sebanyak 47 peratus penggunaan ICU buat pesakit Covid-19, diikuti 84 peratus bagi katil hospital bukan kritikal dan PKRC 63 peratus.

"Kebanyakan pesakit (Kategori 1 dan 2) pula menjalani kuarantin kendiri di rumah mengikut tempoh seperti ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau memberitahu antara faktor menyumbang kes Covid-19 meningkat adalah kerana kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Justeru Dr Zaini mengingatkan penduduk agar tidak leka dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengelak jangkitan.

Semalam, 1,783 kes baharu dilaporkan di negeri itu dan 64 kluster masih aktif termasuk terbaharu, Kluster Jalan Banggol Kulim.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 10:23 AM