BERNAMA

Georgetown: Kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pulau Pinang masih terkawal pada kadar 50 peratus, walaupun berlaku peningkatan kes wabak itu di negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa serta membuat persiapan bagi memastikan kemudahan mencukupi bagi menampung peningkatan kes di Pulau Pinang.

"Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan negeri, lebih 90 peratus kes Covid-19 di negeri ini adalah dalam kategori satu dan dua.

"Jadi, kemasukan ke fasiliti penjagaan kesihatan dan PKRC masih terurus," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MTT Properties & Development Sdn Bhd dan Selgate Healthcare Sdn Bhd, untuk membangunkan hospital pakar swasta di perbandaran Botanica.CT di Balik Pulau.

Dalam pada itu, Chow menasihati ibu bapa supaya membenarkan anak mereka diberi vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dan mereka yang layak diberi suntikan vaksin penggalak supaya berbuat demikian, bagi mendapatkan perlindungan.

Setakat 15 Februari, sebanyak 9,014 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawah PICKids di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 5:38 PM