Bazar Ramadan. FOTO ARKIB NSTP
Bazar Ramadan. FOTO ARKIB NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Peniaga di Negeri Sembilan berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyediakan satu prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan tertentu bersesuaian bagi mewujudkan situasi menang-menang antara penganjur dan peniaga bazar Ramadan.

Ia sebagai langkah memastikan pelaksanaan bazar itu berjalan lancar dan peniaga berpeluang menambah pendapatan serta dalam masa sama tidak berlaku penularan kes Covid-19.

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan (PPPKNS) Cawangan Seremban, Mohamad Yusoff berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan bazar Ramadan beroperasi sepenuhnya seperti biasa pada tahun ini.

Katanya, keputusan itu sememangnya ditunggu-tunggu golongan peniaga ekoran Ramadan bakal disambut tidak lama lagi.

"Saya yakin keputusan membenarkan bazar Ramadan beroperasi menyebabkan peniaga menarik nafas lega selepas ramai kehilangan pendapatan sejak Covid-19 melanda.

"Bagaimanapun, di sebalik kebenaran itu, kami berharap PBT dapat menyediakan satu SOP atau peraturan bersesuaian bagi mewujudkan situasi menang-menang antara penganjur dan peniaga bazar.

"SOP itu perlu dikeluarkan lebih awal iaitu sebelum bermulanya Ramadan bagi mengelak sebarang kekalutan sekiranya peraturan dikeluarkan lewat dan berubah-ubah sambil mengambil kira pandangan persatuan peniaga," katanya.

Setiausaha Persatuan Gerak Bumi Niaga Seremban (PGBNS), Zaheeda Basir berkata, pihaknya menyambut kebenaran bazar Ramadan beroperasi tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 2:37 PM