ORANG ramai membeli barang keperluan harian menjelang Ramadan di Pasar Borong Wakaf Mempelam, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
ORANG ramai membeli barang keperluan harian menjelang Ramadan di Pasar Borong Wakaf Mempelam, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh Terengganu.

Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada pandangan dan arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan sama ada menutup atau meneruskan bazar Ramadan dan Aidilfitri terletak kepada tahap pematuhan penganjur, peniaga serta pengunjung.

Katanya, penutupan bazar Ramadan dan Aidilfitri tertakluk kepada arahan MKN serta KKM berdasarkan kes pandemik Covid-19.

"Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah memenuhi permintaan peniaga dan pengunjung, kini terpulang kepada mereka untuk bersama berusaha membantu kerajaan membendung penularan pandemik itu.

"Garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan dan Aidilfitri sudah dikeluarkan, jika penganjur, peniaga serta pengunjung, termasuk mereka yang tinggal di luar Terengganu tidak melakukan rentas negeri dan tiada peningkatan kes, operasi diteruskan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai SOP bazar Ramadan, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata, operasi perniagaan di bazar Ramadan bermula pada 3 petang sehingga 8 malam dan terhad kepada dua peniaga untuk setiap gerai.

Katanya, penganjur dan peniaga diminta memastikan pengunjung melakukan ujian suhu badan, menggunakan cecair pensanitasi tangan dan pelitup muka, manakala mereka yang bergejala seperti batuk dan selsema tidak dibenarkan masuk ke kawasan tapak untuk membeli-belah.

"Kerajaan negeri meminta kerjasama semua pihak termasuk pengunjung supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak penularan wabak itu.

"Sebanyak 69 bazar Ramadan membabitkan 4,326 petak niaga akan beroperasi pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 12:48 PM