BAZAR ramadan. FOTO arkib NSTP
BAZAR ramadan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Peniaga bazar Ramadan di Negeri Sembilan boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri membenarkan aktiviti itu diadakan pada tahun ini, namun akan beroperasi di kawasan yang sesuai.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menetapkan tapak bazar Ramadan yang sesuai dengan mengambil kira beberapa faktor terutama dari segi penjarakan fizikal dan kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun akan bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jika melihat kebenaran operasi pasar malam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rasanya tiada masalah untuk bazar Ramadan dibenarkan beroperasi.

"Ia tertakluk kepada keputusan MKN, tapi kalau ikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, bazar Ramadan juga tidak ada masalah untuk beroperasi seperti pasar malam.

"Bagaimanapun lokasi tapak itu harus bersesuaian dan bukan tempat yang sesak seperti tiada kawasan tempat letak kereta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan PBT di negeri itu untuk mengenal pasti tapak yang sesuai bagi diadakan bazar Ramadan.

"Persiapan perlu dilakukan dari sekarang supaya tidak timbul masalah apabila tiba Ramadan dan saya berharap ia dapat dilaksanakan dengan lancar sebagai suatu usaha pemulihan ekonomi rakyat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan akan menyediakan garis panduan mengenai SOP di bulan Ramadan.

Menurutnya, ia akan membabitkan SOP solat Tarawih, majlis berbuka puasa, moreh dan sebagainya.

"Garis panduan ini penting kerana ia akan ditanya oleh masyarakat. Saya sudah minta untuk dibuat garis panduan menyeluruh supaya kita dapat menyampaikan kepada masyarakat dan persediaan kita menghadapi Ramadan yang semakin hampir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 4:48 PM