ORANG ramai dilihat mengunjungi Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya. FOTO Bernama
ORANG ramai dilihat mengunjungi Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya. FOTO Bernama
Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Memasuki hari kedua pelaksanaan bazar Ramadan di seluruh negara menyaksikan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai menyebabkan kerisauan wujud kluster baharu Covid-19.

Tinjauan Harian Metro mendapati, penganjur bazar Ramadan sudah menyediakan SOP ketat dengan mewajibkan pemeriksaan suhu, pemakaian pelitup muka dan laluan satu hala tetapi masih gagal mengawal penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed berkata, selaku persatuan yang menguruskan 28 tapak bazar Ramadan di Lembah Klang, setiap peniaga sudah dimaklumkan mengenai SOP yang perlu dipatuhi.

"Setiap bazar Ramadan hanya mengehadkan dua kali ganda bilangan pengunjung dalam satu-satu masa dengan bilangan gerai peniaga yang ada.

"Contohnya, jika ada 100 lot gerai di bazar Ramadan itu, hanya 200 pelanggan dibenarkan memasuki kawasan tapak dan selebihnya perlu beratur dan menunggu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya sedar berlaku sedikit ketidakpatuhan SOP di beberapa bazar Ramadan semalam menyebabkan berlaku kesesakan dan tiada penjarakan fizikal dalam kalangan pelanggan.

"Bagaimanapun, kita akan memperkemaskan lagi SOP dengan mengingatkan setiap peniaga supaya tidak menerima lebih daripada dua pelanggan dalam satu-satu masa.

"Selain itu, kita berharap dapat kerjasama daripada pengunjung supaya sentiasa menjaga kawalan kendiri bagi mewujudkan situasi menang-menang untuk semua pihak," katanya.

Menurutnya, pelanggan yang perlu beratur dalam tempoh lama diharap lebih memahami mengenai norma baharu itu, manakala mereka di tapak bazar perlu lebih bertimbang rasa.

"Diharap semua pihak memberi kerjasama, mereka yang sudah berada dalam tapak bazar dalam tempoh lama perlu fikirkan juga orang sedang beratur untuk membeli juadah berbuka puasa.

"Jika semua dapat memainkan peranan dan mendapat kerjasama semua pihak, pastinya tidak akan wujud sebarang masalah," katanya.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan berlaku penurunan 20 peratus pelanggan untuk bazar Ramadan tahun ini.

"Bazar Ramadan ini sudah jadi tradisi orang Malaysia setiap kali puasa kerana menyajikan makanan berlainan daripada biasa.

"Tetapi kita faham, ada juga golongan yang sangat menitikberatkan kesihatan yang bimbang untuk pergi ke tempat bersesak seperti bazar Ramadan," katanya.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Facebook rasminya memuat naik video mengingatkan rakyat supaya tidak leka menyambut Ramadan.

Orang ramai diingatkan tidak leka ketika menyambut Ramadan dan mengambil iktibar daripada penyebaran Covid-19 menerusi aktiviti sosial seperti mengunjungi rumah rakan dan saudara serta perjalanan rentas negeri atau menghadiri perhimpunan besar-besaran.

MKN juga meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada individu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Komuniti sebagai mata dan telinga kerajaan. Laporkan sebarang ketidakpatuhan SOP kepada pejabat kesihatan daerah atau polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 2:41 PM