Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: PKR akan mengumumkan kesemua 17 calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Sumber PKR berkata, kesemua pengumuman berkenaan akan disempurnakan Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pengumuman 17 calon PKR akan dilakukan esok secara tiga peringkat. Pengumuman calon Johor Selatan akan dilakukan di Hotel Thistle (Johor Bahru) pada 11.30 pagi esok dan kemudiannya calon bagi Johor Tengah akan diumumkan di Pejabat PKR Rengit pada 6 petang diikuti calon Johor Utara dilakukan di Hotel Pelican pada 9 malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dilaporkan berkata, agihan tiga kerusi PKR kepada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi menghadapi PRN Johor akan dimuktamadkan hari ini atau selewat-lewatnya pagi esok.

Ia akan disusuli pelancaran jentera PKR, Pakatan Harapan (PH) dan Muda yang akan dilakukan pada 2 petang esok yang dihadiri semua ketua parti berkenaan.

Pada 27 Januari lalu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dilaporkan berkata bahawa parti itu dan PKR masing-masing akan bertanding 20 kerusi, manakala DAP pula 16 kerusi pada PRN Johor, 12 Mac nanti.

Pusingan pertama rundingan antara PKR, Amanah dan DAP itu dimuktamadkan 25 Januari lalu.

Rundingan kedua agihan kerusi itu membabitkan kesemua parti berkenaan bersama Muda, dengan setiap parti mengagihkan kerusi milik mereka kepada parti baharu itu.

Muda dilaporkan diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, Amanah dan DAP Johor.

Dalam kenyataan bersama antara Amanah, DAP dan Muda pada Rabu lalu, keputusan itu berjaya dicapai selepas beberapa siri rundingan untuk pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor.

Kesepakatan antara tiga parti membawa keputusan muktamad Muda diperuntukkan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Perkembangan itu sekali gus mengesahkan Muda akan bertanding sekurang-kurangnya sembilan kerusi pada PRN Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 5:26 PM