Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor memaklumkan sebanyak 778 borang pencalonan sudah terjual sehingga Isnin lalu.

SPR Johor berkata, jumlah terkini borang calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang terjual itu akan dimaklumkan kemudian.

"Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15 akan berlangsung pada 26 Februari ini bermula dari 9 hingga 10 pagi.

"Sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) akan dibuka bagi menerima borang pencalonan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 yang akan diuruskan Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kesemua PPC itu," kata SPR Johor ketika dihubungi hari ini.

Hanya Pakatan Harapan (PH) membabitkan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), DAP selain Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudah sekurang-kurangnya mengumumkan sebahagian calon mereka bagi menghadapi PRN Johor.

PKR selesai mengumumkan kesemua 20 calon mereka Sabtu lalu, manakala Amanah pula mengumumkan kesemua 16 calonnya pada Jumaat.

Muda pula sudah mengumumkan empat daripada enam calonnya setakat ini, membabitkan kerusi Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai.

DAP juga sudah mengumumkan 14 calon parti itu secara berperingkat dengan majlis pengumuman rasmi kesemua calon berkenaan serta penyampaian watikah calon akan diadakan pada 5 petang esok.

PSM pula mengumumkan hanya akan bertanding di sebuah kerusi pada PRN Johor iaitu membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

Selain DAP, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga akan mengumumkan calon mereka esok.

BN dijangka mengumumkan kesemua 56 calon mereka pada 10 pagi esok, PN pula dijangka mengumumkan semua 56 calon parti itu pada 2.30 petang di Skudai dan Pejuang dijadualkan mengumumkan kesemua 42 calon mereka di Muar, 2 petang esok.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Junz Wong ketika dihubungi pula mengesahkan parti itu akan mengumumkan calon dan kerusi yang ditandingi parti itu pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, waktu serta lokasi sebenar masih belum diputuskan.

Satu-satunya parti yang masih belum membuat pengumuman butiran calon mereka adalah Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilaporkan mahu bertanding di dua kerusi DUN dengan calonnya akan diumumkan menjelang hari penamaan calon.

Dengan perkembangan itu, sekurang-kurangnya 10 parti dijangka akan menurunkan calon masing-masing pada PRN Johor sekali gus mencatat sejarah jumlah parti terbanyak yang bertanding pada satu-satu pilihan raya di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 3:16 PM