Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO AHMAD ISMAIL
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail.


Labis: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan bertanding di kerusi yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaliknya hanya meletakkan calon di kerusi tradisi milik Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, meskipun rundingan agihan kerusi bersama PKR gagal mencapai kata sepakat, parti itu kekal dengan komitmen untuk tidak ada pertindihan kerusi sesama parti pembangkang.

"Saya telah lihat kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan senarai 20 calon PKR.

"Apa pun komitmen saya sebagai Presiden MUDA adalah untuk memastikan bahawa kami tidak akan bertanding di kerusi yang dimenangi PKR sebaliknya kita bertanding melawan UMNO dan BERSATU kerana mahu bawa perubahan jangka masa panjang, bukan sekadar pada pilihan raya semata-mata," katanya di majlis pengumuman tiga calon MUDA di sini, hari ini.

Terdahulu, PKR mengumumkan 20 calon yang akan mewakili parti itu pada PRN Johor, sekali gus menamatkan spekulasi rundingan pembahagian tiga kerusi PKR kepada MUDA yang menjadi teka-teki sebelum ini.

Anwar yang juga Presiden PKR dilaporkan berkata, meskipun rundingan mengenai pengagihan kerusi sudah tamat antara PKR dan MUDA, namun masih ada ruang untuk kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan dalam menghadapi PRN Johor.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, MUDA akan cuba sebaik mungkin untuk mencari kata sepakat dan memberi fokus kepada empat calon yang telah diumumkannya setakat ini.

Dalam pada itu katanya, MUDA juga membuat ketetapan untuk menggunakan logo sendiri pada PRN Johor dan akan mengeluarkan tawaran itu kepada pengundi rakyat Johor dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 6:00 PM