Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sistem Pelaporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima 24,788 laporan AEFI termasuk 1,004 laporan membabitkan dos penggalak vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 84 bagi setiap satu juta dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 390 per 1,000,000 dos.

"Kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak adalah jauh lebih rendah (empat kali lebih rendah) berbanding kadar keseluruhan.

"Demam, kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan penerima vaksin," katanya dalam sidang media hari ini.

Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini.
Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini.

Menurutnya, daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, 64 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar lima laporan bagi setiap sejuta dos.

"Ia juga adalah lebih rendah berbanding laporan AEFI serius yang diterima bagi keseluruhan iaitu pada kadar 27 laporan bagi setiap sejuta dos.

"Berdasarkan analisis interim bagi data Kajian Surveilans Keselamatan Vaksin Covid-19 yang dijalankan oleh NPRA untuk tempoh Februari hingga November 2021, AEFI yang paling kerap dilaporkan susulan pengambilan dos penggalak adalah demam (62 kes per sejuta dos), sakit kepala (38 kes per sejuta dos), Immunisation Stress-Related Reaction (ISRR) (35 kes per sejuta dos), sakit otot (28 kes per sejuta dos), sakit di tempat suntikan (25 kes per sejuta dos), sejuk menggigil (19 kes per sejuta dos).

"Selain itu, antara kesan sampingan dilaporkan pening (18 kes per sejuta dos), sesak nafas (16 kes per sejuta dos), loya (16 kes per sejuta dos) dan palpitasi (15 kes per sejuta dos) dan majoriti AEFI yang dilaporkan adalah ringan dan biasanya akan pulih dalam tempoh masa beberapa hari tanpa rawatan," katanya.

Khairy berkata, kesimpulannya daripada pemantauan laporan AEFI diterima oleh NPRA setakat ini, trend dan kadar pelaporan AEFI yang membabitkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.

"Negara lain yang menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin Covid-19 seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia turut melaporkan trend pelaporan yang sama.

"Melalui pemantauan isu keselamatan vaksin Covid-19 global oleh NPRA juga, tiada isu keselamatan baru yang dikaitkan dengan dos penggalak di negara rujukan yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 6:12 PM