GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes jangkitan Covid-19 dalam negara boleh mencapai sehingga 22,000 kes pada akhir Mac ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkaan itu berdasarkan nilai kebolehjangkitan (Rt) dalam negara ketika ini ialah Rt 1.2.

Oleh itu, beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua mematuhi semua langkah kesihatan, sosial, meningkatkan liputan vaksinasi dan dos penggalak bagi mengurangkan jangkitan serta menurunkan Rt kurang daripada satu.

"Hari ini nilai Rt negara mencatatkan 1.2 manakala mengikut pecahan negeri pula ialah nilai Rt di Selangor (1.19), Sabah (1.41), Pulau Pinang (1.17), Johor (1.16), Kelantan (1.08), Melaka (1.11), Kuala Lumpur (1.12), Putrajaya (1.29), Negeri Sembilan (1.10), Kedah (1.22), Pahang (1.14), Perak (1.10), Terengganu (1.13), Sarawak (1.17) dan Perlis (1.49).

"Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan," katanya menerusi ciapannya di Twitter, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, KKM menasihatkan individu yang berisiko ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19.

"Bagi yang mendaftar, KKM memohon anda hadir ke janji temu demi melindungi diri anda dan orang tersayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 7:49 PM