GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 33 kluster baharu yang dilaporkan di Johor, Selangor, Sarawak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Kelantan, Kedah dan Pahang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 33 kluster yang dikenal pasti, 21 daripadanya adalah kluster tempat kerja, manakala 10 lagi kluster membabitkan komuniti.

"Selain itu, dua lagi kluster pula masing-masing berkaitan institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pendidikan lain.

"Sebanyak 3,485 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 2,480 kluster dilaporkan tamat, manakala 1,005 kluster lagi masih aktif, setakat hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia, sehingga semalam, adalah sebanyak 1.15.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu dengan 1.36 diikuti Kedah (1.26) dan Sabah (1.24).

"Selain itu, negeri lain yang turut mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 adalah Pulau Pinang (1.23), Kelantan (1.22), Johor (1.20), Perak (1.19), Selangor (1.16), Pahang (1.13), Kuala Lumpur (1.13), Putrajaya (1.12), Melaka (1.06), Negeri Sembilan (1.03) dan Sarawak (1.02)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 8:11 PM