Masidi Manjun
Masidi Manjun
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 211 kanak-kanak atau mewakili 0.05 peratus daripada jumlah kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu dikumpul dalam tempoh dua hari sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan pada Khamis lalu.

"Kerajaan negeri sudah memulakan program vaksinasi untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun bermula pada 3 Februari lalu dengan seramai 30 orang kanak-kanak menjadi perintis kepada program itu.

"Semalam (kelmarin), seramai 181 kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan setakat semalam (kelmarin) seramai 211 kanak-kanak atau 0.05 peratus sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Sabah," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau menjelaskan, sebanyak dua dos suntikan akan diberikan kepada kanak-kanak dengan jarak suntikan lapan minggu, masing-masing mengandungi 10 mikrogram (mcg) vaksin iaitu satu pertiga daripada dos suntikan untuk orang dewasa.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata secara keseluruhan, seramai 2,454,764 orang penduduk Sabah sudah menerima satu dos suntikan vaksin setakat kelmarin.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 2,117,184 orang adalah penduduk dewasa atau bersamaan 76.75 peratus daripada jumlah keseluruhan kategori berkenaan.

"Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula adalah seramai 2,410,687 orang. Daripada jumlah ini, seramai 2,097,672 orang atau 76.05 peratus adalah penduduk dewasa.

"Seramai 337,369 orang atau 77.73 peratus penduduk remaja pula sudah menerima satu dos vaksin, manakala penduduk remaja yang sudah lengkap dos vaksin seramai 313,015 orang atau

72.12 peratus setakat ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 9:30 AM