Asrol Awang


Kuantan: Inisiatif Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam menceriakan belakang lorong belakang Jalan Mahkota dan Jalan Besar, di sini yang sebelum ini muram dan sunyi dikenali Kuantan Art Street seperti tidak dihargai.

Ini kerana lorong berkenaan yang dihiasi lukisan mural termasuk aksesori dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Tindakan terbabit menyebabkan pengunjung yang hadir untuk melihat dan bergambar meluahkan kekecewaan disebabkan beberapa aksesori rosak.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku ketika Kuantan Art Street yang kini mendapat perhatian dalam kalangan pengunjung, khususnya pelancong mula dikunjungi dan menjadi tarikan terbaharu sekiranya berada di bandar raya ini.

Aksesori lukisan mural di Kuantan Art Street yang di rosakkan pihak tidak bertanggungjawab. Foto Asrol Awang
Aksesori lukisan mural di Kuantan Art Street yang di rosakkan pihak tidak bertanggungjawab. Foto Asrol Awang

Tinjauan mendapati antara aksesori yang rosak ialah papan luncur dan meja kopi yang dipasang di lukisan terbabit.

Bagaimanapun, aksesori lain yang turut dipasang seperti bot, kerusi gunting rambut dan basikal masih berada dalam keadaan baik.

Seorang pengunjung, Jamaluddin Ismail, 49, dari Indera Mahkota di sini, mengakui terkejut apabila mendapati aksesori papan luncur dan meja kopi yang dipasang pada lukisan mural itu rosak.

Menurutnya, ketika MBK berusaha menarik kedatangan pengunjung ke Kuantan Art Street, masih ada individu yang tidak menghargainya.

"Sebaiknya pengunjung yang datang ke sini (Kuantan Art Street) ini lebih prihatin dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengundang kemarahan.

"Hargai kemudahan yang disediakan dan orang ramai yang datang perlu ada sikap sayang dengan tidak melakukan perkara yang negatif," katanya.

Menerusi hantaran di Facebook Majlis Bandaraya Kuantan semalam, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu meluahkan perasaan kecewa dan sedih apabila melihat budaya vandalisme di bandaraya itu masih berlarutan tanpa noktah.

"Usaha mengindah dan menceriakan seolah tak dihargai pengunjung mahu pun pemilik bangunan.

"Mural dan Art Street di tempat lain sudah lama ada dan masih kekal cantik tetapi di Kuantan?" katanya menerusi hantaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 12:42 PM