KONSEP lukisan 3D mengenai Palestin di Street Art.
KONSEP lukisan 3D mengenai Palestin di Street Art.
Hafiz Ithnin

Rambang mata penulis sebaik melihat pelbagai jenis juadah dihidangkan di Kafe Ayang yang terletak di Jalan Masjid Langgar, Kota Bharu, Kelantan.

Daripada menu roti telur goyang yang dinamakan sebagai Roti Ayang cukup lazat sebagai pembuka selera. Diam tak diam sehingga enam bungkus makanan disua ke dalam mulut! Sedapnya ibarat terlupa daratan pagi itu!

Maka tidak hairanlah untuk si pemburu makanan, Negeri Cik Siti Wan Kembang itu begitu 'sensasi' sebagai destinasi melancong sambil makan!

Sebenarnya selain keunikan juadah makanan yang lazat di Kelantan terdapat elemen menarik yang lain untuk anda terokai jika berkunjung ke bandar Kota Bharu.

Penulis yang diberi peluang mengikuti program Ekspresi Media Kelantan anjuran Tourism Malaysia pada Julai lalu dibawa ke beberapa lokasi menarik di bandar itu menaiki beca.

Seronok juga sebenarnya menaiki beca bersiar-siar di bandar itu kerana dapat menikmati jiwa pelancong. Selain itu, dapat juga membantu pengayuh beca tempatan menjana pendapatan. Bermula di Kafe Ayang, penulis dibawa ke lokasi yang agak unik dan begitu sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti bergambar bersama sentuhan seni iaitu Street Art di Jalan Dato Pati yang mempunyai pelbagai seni mural hasil sentuhan anak tempatan.

Street Art terletak di belakang deretan kedai dijadikan laluan seni oleh Majlis Pembandaran Kota Bharu (MPKB) sejak 2016 hasil kerjasama Persatuan Seni Lukis Kelantan dan syarikat cat, Jotun.

Pelancong, Rusdi Ghalib berkata, Street Art mempunyai tiga fasa pembangunan dengan tiga tema berbeza iaitu Palestin Art Corner, Batik serta Seni dan Budaya.

BELAKANG kedai di Dataran Ilmu diberi nafas baru dengan lukisan mural mampu menarik perhatian pengunjung.
BELAKANG kedai di Dataran Ilmu diberi nafas baru dengan lukisan mural mampu menarik perhatian pengunjung.

Rusdi berkata, sejak lokasi itu menjadi laluan seni, ia memberi nilai tambah kepada pusat bandar Kota Bharu sebagai destinasi pelancongan terutama golongan muda.

"Jika pengunjung ke Palestin Art misalnya, mereka dapat menikmati pelbagai emosi dan suasana mengenai Palestin yang begitu sinonim sebagai negara yang dijajah dan ditindas.

"Selain itu, terdapat juga konsep seni mural yang dibangunkan dalam bentuk tiga dimensi (3D) menjadikan lukisan itu unik," katanya.

Pada hemat penulis, berada di Street Art itu sememangnya menarik kerana sambil melancong, kita juga dibawa untuk menjiwai suasana masyarakat Islam yang ditindas di Palestin.

Pelbagai suasana dibawakan oleh karyawan tempatan dalam laluan seni itu antaranya situasi di dalam hospital, kereta kebal yang sinonim dengan keadaan peperangan dan kemusnahan bangunan. Semuanya digarapkan dengan begitu baik sekali.

Selesai merakam pelbagai foto menarik di Street Art, penulis dibawa pula mengunjungi lokasi yang wajib dikunjungi jika ke Kota Bharu iaitu Pasar Siti Khadijah.

Terkenal sebagai destinasi membeli-belah produk tempatan, Pasar Besar Siti Khadijah juga sebenarnya mempunyai sejarahnya tersendiri.

Rusdi berkata, pasar itu yang dibangunkan pada sekitar 1985 dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu dan ditukar namanya kepada Pasar Besar Siti Khadijah sejak 90-an bagi mengangkat nama isteri Nabi Muhammad (SAW), Siti Khadijah yang terkenal sebagai peniaga.

Katanya, mengambil nama baharu itu kerana hampir 80 peratus peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah terdiri daripada kaum hawa.

ROTI Ayang yang lazat di Cafe Ayang.
ROTI Ayang yang lazat di Cafe Ayang.

"Pasar Besar Siti Khadijah ini adalah destinasi wajib untuk dikunjungi pelancong yang datang ke Kota Bharu kerana ia menjual pelbagai produk tempatan seperti makanan dan hasil kraf," katanya.

Lokasi seterusnya pula penulis dibawa ke 'nadi utama' pelancongan di Kota Bharu iaitu Kota Sultan Ismail Petra yang mempunyai pelbagai tarikan warisan sejarah.

Antara menarik perhatian pastinya Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra yang menjadi mercu tanda utama menandakan anda sudah berada di Kota Bharu.

Di sekelilingnya pula terdapat pelbagai tarikan pelancongan lain seperti Padang Merdeka, Bank Pitis, Bank Kerapu, Masjid Muhammadi, Istana Batu, Istana Jahar dan Istana Balai Besar.

Sebenarnya jika anda berpeluang ke negeri yang turut mendapat jolokan Tanah Serendah Sekebun Bunga, Serambi Mekah atau Gedung Budaya Melayu itu banyak lagi aktiviti melancong yang boleh dilakukan.

Apatah lagi, bagi mereka yang gemar merakam gambar, pasti tidak akan menyesal apabila ke sini!

ANTARA makanan tempatan dijual di Pasar Besar Siti Khadijah.
ANTARA makanan tempatan dijual di Pasar Besar Siti Khadijah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 7:00 AM