MOHD Sharkar (kanan) dan Ishak Mokhtar bergambar di Kuantan Art Streeet. FOTO Asrol Awang
MOHD Sharkar (kanan) dan Ishak Mokhtar bergambar di Kuantan Art Streeet. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Tidak mahu hasil karya 36 lukisan mural di Kuantan Art Street menjadi mangsa vandalisme, dua sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sepanjang laluan yang terletak antara lorong Jalan Mahkota dan Jalan Besar, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemasangan CCTV itu kerana Kuantan Art Street kini menjadi lokasi tumpuan orang ramai.

"Bagi memastikan lukisan ini tidak menjadi mangsa vandalisme, CCTV dipasang yang dipantau sepenuhnya oleh bahagian keselamatan Majlis Bandaraya Kuantan (MPK)katanya kepada media selepas meninjau Kuantan Art Street, malam tadi.

Turut sama dalam tinjauan itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar dan Setiausaha MBK, Datuk Hamiza Hamzah.

"Saya nasihatkan orang ramai yang berkunjung ke Kuantan Art Street ini tidak melakukan perbuatan tidak senonoh kerana mereka diperhatikan oleh CCTV," katanya.

Mohd Sharkar berkata, sejak dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya 21 Februari lalu, kira-kira 50,000 orang sudah mengunjungi Kuantan Art Streeet dan kerajaan negeri percaya jumlah itu akan meningkat selepas semua aktiviti pelancongan dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pada masa sama, orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang terutama penjarakan fizikal apabila berada di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 11:40 AM