Hanif menziarahi anggotanya yang cedera dirempuh penunggang motosikal ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban- Port Dickson. FOTO AHMAD HASBI
Hanif menziarahi anggotanya yang cedera dirempuh penunggang motosikal ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban- Port Dickson. FOTO AHMAD HASBI
Ahmad Hasbi


Seremban: Kesalahan membabitkan cukai jalan, perlindungan insurans serta lesen memandu terus mencatatkan jumlah saman paling tinggi meskipun ia keperluan penting sebelum sesebuah kenderaan bergerak di jalan raya.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, ketiga-tiga kesalahan mengikut Seksyen 23 (1), Seksyen 90 (1) dan Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 itu boleh dikenakan tindakan sita.

"Tindakan sita boleh dilakukan mengikut Seksyen 64 (1) APJ 1987 yang mana pegawai JPJ boleh menyita kenderaan bagi tujuan mengenal pasti identiti pemandu, identiti kenderaan atau untuk memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan," katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan pihaknya terhadap penunggang motosikal bukan bertujuan mencari kesalahan, sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada golongan itu susulan peningkatan jumlah kemalangan maut terutama membabitkan 'mat rempit'.

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 61,310 saman dikeluarkan dengan cukai jalan mencatatkan jumlah kesalahan paling tinggi iaitu 20,647 saman diikuti lesen memandu (16,430) dengan motosikal mencatatkan jumlah saman paling tinggi (22,900).

"Dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini, JPJ akan terus mengukuhkan lagi usaha melalui strategi tindakan penguatkuasaan bagi mendidik masyarakat untuk sentiasa mematuhi peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 2:00 PM