Ahmad Hasbi


Seremban: Penggunaan dron sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 banyak membantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, penggunaan alat berkenaan dilihat lebih efisyen dalam memantau kesalahan pengguna jalan raya selain tidak memerlukan keanggotaan ramai.

Menurutnya, dron kali pertama digunakan JPJ pada Ops Hari Raya Aidilfitri 2022 dengan menumpukan kawasan lebuh raya dan jalan utama di negeri ini.

"Pihak kami akan memperluaskan penggunaan dron dalam setiap operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada masa akan datang terutama pada musim perayaan.

"Sebanyak dua dron digunakan di kawasan lebuh raya yang tertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan manakala di jalan utama pula, memfokuskan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.

"Seramai tiga anggota JPJ ditempatkan bagi mengawal dron dengan dibantu Unit Peronda Bermotosikal (UPNB)," katanya sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2022 di sini, tadi.

HANIF Yusabra Yusuf pada sidang akhbar sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2022 di sini, semalam. FOTO Azrul Edham
HANIF Yusabra Yusuf pada sidang akhbar sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2022 di sini, semalam. FOTO Azrul Edham

Hanif Yusabra berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 30 notis saman menerusi pemantauan dron dilaksanakan dan bercadang menambah lima lagi dron sebagai penambahbaikan penguatkuasaan.

"Kami akan berbincang dengan Akademi JPJ Malaysia untuk menghantar pegawai JPJ negeri ini bagi menjalani latihan mengendalikan dron dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JPJ negeri turut mengeluarkan 316 saman atas pelbagai kesalahan dalam Op HRA terbabit dengan saman paling tinggi adalah memotong barisan iaitu 149 kes, melanggar lampu isyarat merah (92) dan memandu di lorong kecemasan (32).

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,010 kenderaan diperiksa sepanjang pelaksanaan operasi itu dan daripada jumlah itu, 610 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 3:51 PM