GAMBAR  hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: UMNO Johor menafikan ada membuat sebarang tawaran baharu membabitkan kerusi kepada PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, desas-desus yang tersebar menyatakan PAS ada membuat tuntutan sejumlah kerusi bagi bertanding menerusi Muafakat Nasional (MN) adalah cerita lama.

"UMNO Johor tiada membuat sebarang tawaran baharu kepada PAS bagi bertanding PRN Johor menerusi MN.

"Desas-desus yang menyatakan UMNO menawarkan empat kerusi kepada PAS dengan parti itu sebaliknya menuntut sejumlah 20 kerusi, adalah cerita lama, dan tiada kena mengena lagi malah ia tidak perlu digembar-gembur semula.

"Bagaimanapun, kepimpinan tertinggi masih belum membuat keputusan sebarang kerjasama bersama parti atau gabungan lain termasuk dengan PAS, apatah lagi akar umbi mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo pada PRN Johor.

"Setakat ini juga tiada sebarang rundingan bersama PAS dilakukan walaupun ada dakwaan mengatakan sebaliknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, UMNO dan BN dilaporkan masih belum memuktamadkan sama ada akan bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Johor, nanti.

Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata perkara itu masih lagi diteliti dengan mendalam buat masa ini.

"Kita kena melihat dan kaji dengan teliti (kerjasama dengan PAS). Ini kerana majoriti kepimpinan di semua peringkat bahagian serta akar umbi, mahukan BN bergerak berseorangan dalam PRN ini," katanya semalam.

Ahad lalu, PAS Johor dilaporkan berharap ada harapan untuk MN bersama, pada PRN Johor, nanti.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin, dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang juga Menteri Besar, dalam masa terdekat.

Pada 18 Disember lalu pula, Hasni yang juga Menteri Besar, dilaporkan mempersoalkan kejujuran PAS dalam MN apabila menolak empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan kepada mereka, sebelum ini.

Hasni dilaporkan berkata, PAS lebih tertarik dengan tawaran 15 kerusi yang diberikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Di manakah kejujuran PAS terhadap UMNO. Empat kerusi DUN Johor ditawarkan kepada PAS, tetapi mereka lebih selesa dengan Bersatu yang menawarkan 15 kerusi DUN.

"Justeru UMNO Johor berpendirian untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 1:47 PM