Dr Sahruddin Jamal. Foto Hairul Anuar Rahim
Dr Sahruddin Jamal. Foto Hairul Anuar Rahim
Suzalina Halid

Pagoh: Bekas Menteri Besar Johor yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Perikatan Nasional (PN) sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Bagaimanapun, Dr Sahruddin berkata, perbincangan mengenai jawatan tertinggi pentadbiran negeri itu berada di luar pengetahuannya.

Sahruddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong berkata, sehingga kini beliau sendiri tidak mengetahui sama ada dirinya adalah calon Menteri Besar yang ditetapkan pucuk pimpinan.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya sebaliknya menyerahkan mengenai perkara itu kepada pucuk pimpinan untuk menentukan berhubung perkara terbabit.

"Saya tidak boleh komen (calon Menteri Besar) kita ikut arahan dari pucuk pimpinan parti sahaja.

"Namun perbincangan mengenai siapa calon Menteri Besar adalah di luar pengetahuan saya," katanya.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan sudah mempunyai calon untuk diangkat sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu menang dalam PRN Johor nanti.

Muhyiddin dilaporkan berkata, pengumuman mengenai calon Menteri Besar yang disifatkan memenuhi kriteria itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Dr Sahruddin pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Johor Ke-17 selama 10 bulan dua minggu pada 14 April 2019 ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Johor.

Susulan tindakan Bersatu keluar daripada gabungan PH pada Februari 2020, Johor kemudiannya membentuk kerajaan PN antara Bersatu, Pas dan Barisan Nasional (BN) dengan UMNO mempunyai kerusi DUN paling banyak dalam gabungan baharu terbabit.

Rentetan itu, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 3:47 PM