Maulizan Bujang
Maulizan Bujang
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: UMNO Tebrau yakin mampu tawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tradisinya dimenangi dan ditandingi wakil dari parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, UMNO Tebrau membuat keputusan untuk mencalonkan wakil muka baharu bertanding di kerusi berkenaan.

"Saya membuat keputusan untuk tidak menawarkan diri bertanding semula bagi memberi laluan kepada pemimpin yang baharu dan lebih muda untuk diketengahkan sebagai calon.

"Beberapa nama pemimpin muda yang mempunyai kelulusan yang baik dan berpengalaman dicalonkan oleh UMNO bahagian bagi dicalonkan merebut DUN Tiram," katanya.

Maulizan berkata, beliau juga yakin bahawa pengundi akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) kerana kegagalan Pakatan Harapan (PH) memerintah dengan baik menjadikan rakyat serik untuk menyokong mereka.

"UMNO Tebrau juga menamakan beberapa pemimpin dari UMNO Bahagian untuk bertanding di DUN Puteri Wangsa dan merampasnya kembali.

"UMNO Tebrau memutuskan hanya pemimpin tempatan yang akan disokong untuk bertanding di kedua-dua DUN terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 2:32 PM