Maulizan Bujang.
Maulizan Bujang.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Bekas Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mempersoalkan rayuan yang perlu dibuat terhadap ahli yang digantung atau dipecat parti itu.

Ini kerana, Maulizan mendakwa tindakan itu dibuat tidak mengikut prosedur sepatutnya.

"Kenapa perlu buat rayuan jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut prosedur? Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti sebelum digantung.

"Saya menjadi ahli Umno dan aktif sejak berusia 17 tahun dan amat menyayangi parti Umno yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

"Saya tidak pernah khianat atau sabotaj parti malah bertungkus lumus nak memenangkan parti dalam setiap Pilian Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Maulizan berkata, kebanyakan nama besar yang dipecat dan digantung adalah kerana tidak sehaluan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pemecatan serta penggantungan itu bertujuan membolehkan presiden menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang 'diorkestra' untuk menyokong hasrat Presiden.

Katanya, Umno juga menjadi semakin lemah apabila orang Melayu mula merasakan bahawa parti itu kehilangan identiti sebagai parti yang asas perjuangannya ialah untuk membela agama, bangsa dan negara.

"Umno di bawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan Umno yang dahulu.

"Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar, amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Salleh menegaskan barisan kepimpinan perlu menerima semula ahli yang dipecat dan digantung bagi memperkasa parti menjelang PRN.

Ini ekoran parti itu kini berada di titik terendah, seterusnya perlu menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memperkuatkan parti.

Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi Umno menggantung Maulizan selama enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 2:01 PM