MAULIZAN. FOTO ihsan FB  Datuk Maulizan Bujang
MAULIZAN. FOTO ihsan FB Datuk Maulizan Bujang
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang menjelaskan beliau tidak dipanggil Lembaga Disiplin atau diberi peluang membela diri berhubung penggantungan enam tahun yang diputuskan terhadapnya.

Bagaimanapun Maulizan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram berkata, beliau reda terhadap keputusan itu walaupun dirinya sangat sayang kepada parti yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, beliau bermula dari peringkat cawangan dan bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan dan menjadi ahli Umno selama 42 tahun.

"Mungkin silap saya kerana kadang-kala tidak sehaluan dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Tak apalah, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

"Saya doakan suatu masa nanti Umno akan dapat pulih semula dengan pemimpin dan kepimpinan yang diterima bukan saja oleh ahli parti tetapi diterima oleh pengundi dan rakyat kebanyakan.

"Semoga Umno dapat kembalikan semula roh perjuangan yang berlandaskan asas penubuhan parti iaitu untuk menjaga agama, membela bangsa seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan memajukan negara berbilang kaum yang tercinta ini.

"Saya mohon maaf kepada semua yang mengenali saya baik dalam parti atau pun di luar sekiranya sepanjang khidmat saya sebagai pemimpin kerdil ini terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan yang tak disengajakan mahupun kekurangan yang ada pada diri saya," katanya dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook, hari ini.

Selain Maulizan, Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif turut dilaporkan digantung keahliannya selama enam tahun.

Bekas Ketua Pemuda Umno yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Noh Omar pula dipecat keahliannya malam tadi.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian serta bekas Menteri Besar Johor pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor.

Tempat Hasni yang juga Adun Benut itu akan diambil alih Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Ahmad Zahid, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 11:08 AM