Zaid Salim


Kuala Nerus: Pasangan pengantin yang baru sehari melangsungkan perkahwinan menerima khabar gembira apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Anugerah itu disifatkan hadiah perkahwinan yang tidak diduga sekali gus menjadi kenangan abadi dalam hidup mereka.

Noor Syafiqah Azim Mohd Zainurin, 26, graduan Sarjana Muda Informatik dan Komputeran menerima anugerah itu selepas menamatkan pengajiannya dengan Purata Nilai Gred Kumulaitif 3.85.

Lebih menggembirakan apabila suaminya, Izran Iskandar Rosli, 26, yang juga rakan sekuliah turut menerima skrol ijazah sama yang akan disampaikan pada Selasa ini.

"Alhamdulillah syukur dengan anugerah yang tidak diduga ini sekali gus ia menjadikan hadiah istimewa sempena perkahwinan kami.

"Saya dan suami selamat diijabkabulkan dalam satu majlis di Semenyih, Selangor, semalam.

"Selesai majlis, kami bergegas ke majlis konvokesyen sambil ditemani keluarga dan tiba 6 pagi tadi," katanya ketika ditemui hari ini.

Noor Syafiqah berkata, dia dan suami tidak menyangka tarikh pernikahan dan majlis konvokesyen mereka selang sehari kerana hanya dimaklumkan UniSZA pada hujung bulan lalu.

Katanya, dia dan suami juga sudah beberapa kali menangguhkan upacara pernikahan sebelum memeterainya semalam.

Menurutnya, disebabkan terlalu sibuk menguruskan perkahwinan, dia tidak sempat menyediakan pakaian sempena hari konvokesyen sebaliknya hanya menyarung baju bertunang ketika menghadiri majlis berkenaan.

Walaupun agak kalut dan kepenatan, Noor Syafiqah Azim gembira kerana anugerah itu adalah detik paling indah dan membahagiakan dalam hidupnya.

NOOR Syafiqah bersama suaminya, Izran Iskandar  tidak menyangka tarikh pernikahan dan majlis konvokesyen mereka selang sehari. FOTO Ghazali Kori
NOOR Syafiqah bersama suaminya, Izran Iskandar tidak menyangka tarikh pernikahan dan majlis konvokesyen mereka selang sehari. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 5:42 PM