LIMA pelajar USIM menerima anugerah keseluruhan dan hadiah konvokesyen ke-12, (dari kiri) Nur Sakinah Nabilah Nor Saeran, Yusof Yaacob, Syuhadah, Iqmal dan Nurul Hidayah Mohd Anas.
LIMA pelajar USIM menerima anugerah keseluruhan dan hadiah konvokesyen ke-12, (dari kiri) Nur Sakinah Nabilah Nor Saeran, Yusof Yaacob, Syuhadah, Iqmal dan Nurul Hidayah Mohd Anas.

Nilai: “Menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, pensyarah dan rakan prinsip saya untuk berjaya. Meskipun saya pernah dipulaukan segelintir rakan, saya anggap ia sebagai cabaran,” kata Noor Syuhadah Sudiro, 23, penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Ke-12 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Noor Syuhadah graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian itu menyifatkan kejayaannya berkat doa ibu bapa dan dorongan pensyarah yang memberinya tunjuk ajar sepanjang empat tahun.

Kecemerlangannya bermula sejak semester pertama apabila memperoleh Anugerah Dekan dan ia diperoleh pada setiap semester pengajiannya.

“Kejayaan menerima anugerah itu sepanjang tujuh semester dan terlalu menonjol menyebabkan segelintir rakan menjauhkan diri daripada saya. Bagaimanapun, saya anggap itu sebagai cabaran dan tidak berkecil hati.

“Setiap yang pahit pasti ada manisnya. Pensyarah dan kakitangan USIM pula menjadi rakan baik saya, selain membantu saya dalam pengajian,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Menurutnya, walaupun perlu menumpukan masa untuk pelajaran, dia tetap aktif dengan aktiviti fakulti dan universiti bagi membolehkan dia menimba pengalaman dan pengetahuan termasuk mengasah kepimpinan.

Noor Syuhadah yang berasal dari Banting, Selangor berkata, dia dipilih menyandang Exco Perhubungan Korporat dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dua tahun lalu menyebabkan dia perlu bijak membahagikan masa.

“Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa, saya merangkul kejayaan ini. Ayah saya hanya seorang pengusaha cendawan manakala ibu suri rumah,” kata anak ketujuh daripada 11 beradik itu.

Katanya, dia kini bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Sosial di USIM sementara menunggu untuk menyambung pengajian ke peringkat pasca siswazah dan bercita-cita menjadi pensyarah di USIM.

Selain itu, Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, 23, juga menerima anugerah sama dan berkata, dia bukan ‘ulat buku’ sebaliknya sentiasa fokus ketika sesi kuliah dan bertanya kepada pensyarah faktor kejayaannya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian itu kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat di universiti sama.

“Bapa pernah berpesan walaupun kami (ibu bapa) tidak sampai universiti, tetapi kamu mesti sampai universiti. Syukur saya dapat meneruskan pengajian di peringkat universiti dan berjaya,” katanya memberitahu bapanya pegawai polis manakala ibu suri rumah dan menetap di Sungai Petani, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:25 AM