Asrol Awang


Kuantan: Seramai 23 pegawai dan anggota polis Pahang dibuang kerja membabitkan kesalahan narkotik, jenayah, tatatertib dan rasuah sejak 2020.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan jumlah itu, ia sangat membimbangkan kerana polis adalah badan penguat kuasa undang-undang yang menjadi benteng kepada keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

Katanya, kes membabitkan kelakuan pegawai dan anggota polis akan menjadi perhatian terutama membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

"Pada masa sama, saya tidak boleh terima pegawai atau anggota yang terbabit dalam penagihan dadah dan jika terbabit adalah sesuatu yang sangat malang.

"Penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis akan meruntuhkan institusi keramat ini.

"Kita tidak mahu Polis Pahang mempunyai zombi yang bukan saja akan menyusahkan penyelia dan rakan sekerja mereka tetapi juga keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

RAMLI menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis Pahang. FOTO Asrol Awang
RAMLI menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis Pahang. FOTO Asrol Awang

"Implikasi dadah diketahui amat buruk kerana risikonya bukan kepada diri sendiri tetapi kepada mereka yang dekat terutama ibu bapa serta saudara mara yang dibunuh dengan kejam oleh penagih," katanya.

Ramli berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa lebih 300 pegawai dan anggota polis di Pahang terkesan dengan banjir besar, Disember lalu.

Beliau bersimpati dengan masyarakat serta pegawai dan anggota polis yang terjejas akibat bencana itu.

"Bagi pegawai dan anggota yang terjejas banjir, kebajikan mereka diberikan keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:07 AM