Asrol Awang

Kuantan: Empat lelaki termasuk dua beradik yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar daerah ini, pada 24 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang ditahan berusia antara 32 hingga 42 tahun.

Menurutnya, empat serbuan dilakukan antara jam 5 petang hingga 11.30 malam itu bermula dengan penahanan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Sri Mahkota, di sini.

"Disusuli penahanan tiga lelaki lain, masing-masing ditahan di sebuah rumah di taman sama, parkir tol Plaza Gambang dan tepi jalan hadapan perhentian bas simpang Lepar Hilir, Gambang.

"Dengan penahanan empat lelaki itu, polis merampas dadah berjumlah RM76,164 iaitu 2,274.25 gram heroin bernilai RM30,474 dan 1,269.15 gram bernilai RM45,690.

"Nilai sitaan harta pula berjumlah RM559,928 iaitu wang tunai RM91,250, tiga kereta dan lapan motosikal (RM440,100), 19 jam tangan (RM16,500) dan barang kemas (RM12,078). Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM636,092," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

RAMLI (kanan) menunjukkan rampasan dadah dan sitaan harta di Kuantan. FOTO Asrol Awang
RAMLI (kanan) menunjukkan rampasan dadah dan sitaan harta di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Ramli berkata, empat suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 26 Mac lalu hingga 1 April ini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda sekitar Kuantan.

"Dengan penahanan ini, Polis Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda sekitar Kuantan yang didalangi warga tempatan. Rampasan heroin itu boleh dibekalkan kepada 4,548 penagih manakala syabu boleh dibekal 2,538 penagih," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 398B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 5:38 PM