INTAN Nurfarhana (tiga dari kanan), Wan Suria (dua dari kanan), Safwan (lima dari kanan) dan beberapa pembeli lain meneliti dokumen perjanjian jual beli rumah di tapak projek Taman Seri Aman Lagenda. FOTO Hassan Omar
INTAN Nurfarhana (tiga dari kanan), Wan Suria (dua dari kanan), Safwan (lima dari kanan) dan beberapa pembeli lain meneliti dokumen perjanjian jual beli rumah di tapak projek Taman Seri Aman Lagenda. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pembeli unit kediaman di Taman Seri Aman Lagenda, di sini, merayu campur tangan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah projek perumahan itu yang terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Ini kerana mereka tidak sanggup menanggung beban membayar balik pinjaman institusi kewangan sedangkan rumah yang seharusnya sudah dihuni tidak siap.

Wakil pembeli, Intan Nurfarhana Kamarolzaman, 32, mendakwa dia dan 53 lagi pembeli sudah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju pada 2017 dan rumah dijanjikan siap dalam tempoh dua tahun.

"Kami menunggu dengan penuh harapan untuk menghuni rumah selepas dua tahun projek itu dimulakan tetapi malangnya hingga hari ini, ia terbiar begitu saja," katanya ketika ditemui di tapak projek berkenaan hari ini.

Dia berkata, usaha sedang dilakukan untuk mengumpulkan semua pembeli rumah dan meminta mereka menghubunginya di talian 019-6171242.

Pembeli, Wan Suria Wan Ibrahim, 40, berkata, 54 unit rumah itu bernilai antara RM201,000 hingga RM240,000 sebuah dan dilancarkan pada 2017.

"Apabila saya mencari maklumat syarikat itu melalui Internet, alamat yang ada dalam dokumen perjanjian berbeza dengan alamat yang ada di laman web.

"Puas kami menghubungi syarikat itu tetapi gagal dan kami amat kecewa kerana hingga saat ini rumah itu belum mampu disiapkan sedangkan kami terpaksa menanggung hutang pinjaman perumahan," katanya.

Dia mendakwa, pemaju tidak pernah menghubungi mereka, apatah lagi berunding bagi mencari penyelesaian terbaik masalah berkenaan.

Seorang lagi pembeli, Safwan Sulaiman, 28, berkata, dia membuat pinjaman untuk membeli rumah bernilai RM203,000 dengan harapan mampu menikmati kehidupan lebih selesa tetapi hampa.

Katanya, dia bernasib baik kerana masih mempunyai pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Alhamdulillah, Allah beri saya rezeki untuk membayar pinjaman perumahan semasa PKP dan saya tidak dapat bayangkan apa akan jadi kalau saya kehilangan pekerjaan dan terpaksa membayar pinjaman sedangkan rumah tidak siap," katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kerajaan negeri akan meneliti masalah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta pembeli terbabit supaya bersabar sementara menunggu kaedah penyelesaian diusahakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 10:54 AM