KAWASAN perumahan dipenuhi semak-samun.
KAWASAN perumahan dipenuhi semak-samun.
Oleh Syaherah Mustafa


SERAMAI 57 pembeli rumah kecewa apabila kediaman yang dibeli sejak 13 tahun lalu di Taman SL ATM Perdana, Mukim Apam di sini, terbengkalai.

Projek terbabit yang merangkumi 12 unit banglo dan 44 rumah teres sepatutnya siap pada November 2018, kini hanya dipenuhi semak samun dan tidak terurus, selain ada bumbung yang dicuri.

Lebih memeritkan, gaji bulanan setiap pembeli dipotong setiap bulan sebanyak RM500 hingga RM800, bergantung kepada jenis rumah.

Pembeli, Mohd Reduan Ibrahim, 33, meluahkan rasa kesal apabila pemaju lepas tangan dan membiarkan mereka menanggung kos pembayaran sedangkan rumah yang dijanjikan tiada.

Dia yang berkhidmat sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menandatangani perjanjian membeli rumah sejak 2006 terpaksa menyewa rumah lain untuk berteduh apabila pembinaan rumah sendiri terbengkalai.

“Kami dijanjikan pada 2018 rumah ini siap, namun hingga kini terbengkalai. Sudah berapa lama saya terpaksa menanggung beban dengan potongan bayaran bulanan yang sia-sia kerana hasilnya (rumah) masih tiada.

“Tidak cukup dengan itu, kos rumah sewa juga perlu dibayar ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Sebenarnya kami yang menjadi mangsa projek ini hanya mahukan rumah siap untuk didiami. Kami menyeru pihak yang bertanggungjawab tampil dan menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan segera dan memberi hak kami.

“Saya juga merayu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pertahanan untuk bantu kami yang mana kebanyakannya anggota dan bekas ATM,” katanya ketika ditemui selepas hadir sama ke tapak projek rumah terbengkalai di Taman SL ATM Perdana, Mukim Apam di sini, semalam.

Seorang lagi pembeli, Nordin Hamat, 49, yang juga pesara tentera, merayu Kementerian Pertahanan membela nasib mereka yang buntu memikirkan cara supaya kediaman mereka disiapkan segera.

“Masalah ini menjadi semakin rumit dan kami tiada tempat untuk mengadu biarpun wang kami sudah habis puluhan ribu ringgit. Saya mohon nasib kami dibela kerana menjadi mangsa penipuan pemaju projek perumahan ini.

“Sedih melihat rumah yang seperti tiada harapan untuk didiami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 9:00 AM