Amin Ridzuan Ishak

TAKLIMAT projek perumahan Taman Cherating Jaya di Kuantan, semalam kecoh apabila hampir 100 pembeli meluahkan rasa tidak puas hati dan mendesak pemaju membayar wang pendahuluan.

Kekecohan bermula apabila seorang daripada pembeli, Md Raya Abd Hamid, 67, meminta Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Perumahan Malaysia Berhad (KPMB), P Jayakumar menghentikan taklimatnya dan memberi jaminan untuk wang mereka dikembalikan.

Md Raya yang membeli tiga unit rumah yang berharga RM150,000 setiap satu mendakwa pembeli sudah tidak sanggup lagi menanggung kerugian dan mahu KPMB memulangkan semula kos pendahuluan dikeluarkan.

“Kita tidak mahu mendengar lagi mengenai latar belakang projek atau syarikat, pembeli mahu tahu bila wang (pendahuluan) mahu dibayar.

“Projek itu sepatutnya siap pada 2016 tetapi sampai sekarang, apapun tiada di tapak berkenaan,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM45,000.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Liyu Tuck Fatt, 60, berkata dia kecewa kerana mereka langsung tidak berpeluang bertemu wakil pemaju untuk bertanyakan perkembangan projek, malah mesyuarat agung tahunan yang diwajibkan juga tidak diadakan.

“Sepatutnya setiap tahun harus diadakan mesyuarat agung, (tetapi) hanya tahun ini mereka buat selepas pembeli mula membangkitkannya termasuk di media,” katanya.

Dalam pada itu, Jayakumar berkata, pihaknya akan berusaha membayar kembali wang pendahuluan pembeli, selewat-lewatnya 30 Jun tahun depan dan meminta mereka supaya bersabar.

“Kita akan memberikan surat pemberitahuan berhubung perkara itu dalam tempoh 14 hari sebagai jaminan.

“Kita ada aset untuk dicairkan bagi membayar kembali wang berkenaan, projek ini bermasalah berikutan status tanah. Sepatutnya tiada (masalah) kerana pelan projek sudah pun diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Pahang pada Selasa ini seperti diarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mahu isu berkenaan diselesaikan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 1:43 AM
MD Raya meminta P Jayakumar (kiri) berhenti berucap dan memohon jaminan bila wang mereka akan dikembalikan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
MD Raya meminta P Jayakumar (kiri) berhenti berucap dan memohon jaminan bila wang mereka akan dikembalikan. FOTO Muhd Asyraf Sawal