Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) akan terus mempergiatkan usaha dalam meningkatkan kesedaran mengenai kempen derma darah kepada orang ramai.

Pengerusi Kebangsaan PBSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berkata, kempen derma darah ini adalah hasil kerjasama antara PBSMM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersama Persatuan Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Menerusi kempen untuk kali ini, saya berharap supaya kita dapat mencapai sasaran untuk mendapatkan 100 beg darah sehari.

"Penganjuran kempen derma darah ini adalah diharapkan dapat memberi kesedaran dan kepentingan tanggungjawab sebagai penderma selain menggalakkan lebih ramai individu untuk menderma.

Tunku Puteri Intan Safinaz (dua dari kiri) bersama Suhaimi (kiri) ketika melawat pusat derma darah selepas  melancarkan Kempen Bulan Pungutan Derma Bantuan Banjir dan Derma Darah anjuran PBSMMKL di Plaza Damas Shopping Centre, Sri Hartamas. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
Tunku Puteri Intan Safinaz (dua dari kiri) bersama Suhaimi (kiri) ketika melawat pusat derma darah selepas melancarkan Kempen Bulan Pungutan Derma Bantuan Banjir dan Derma Darah anjuran PBSMMKL di Plaza Damas Shopping Centre, Sri Hartamas. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.

"Saya menyeru semua pihak supaya tampil ke hadapan untuk menderma kerana darah yang didermakan dapat menyelamatkan nyawa seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pungutan Derma Bantuan Banjir dan Program Derma Darah Anjuran PBSMM WPKL, di pusat beli belah Plaza Damas, Sri Hartamas, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Naib Pengerusi Kebangsaan merangkap Pengerusi PBSMM WPKL, Datuk Seri Suhaimi Yacob, Setiausaha Agung PBSMM, Hakim Hamzah, Pengarah Urusan Kumpulan Mayland Group, Datuk Kevin Woo dan Pengarah Perniagaan Runcit dan Jualan Hartanah Antarabangsa Mayland, Pel Loh.

Sementara itu, PBSMM WPKL turut menerima sumbangan daripada Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd bernilai RM66,566 serta Mayland Group sebanyak RM5,000 sebagai tanda kolaborasi mereka dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan kepada mangsa banjir di setiap negeri yang terkesan, bermula hari ini.

Menurut Kevin, pihaknya menjadikan Plaza Damas sebagai pusat pengumpulan kepada mereka yang ingin memberikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Malah, mereka turut menempatkan kiosk di luar pusat beli belah itu bagi memudahkan pemberian sumbangan secara pandu lalu.

"Menerusi kerjasama bersama PBSMM ini, kami berharap premis ini bukan sahaja dipandang sebagai sebuah pusat beli belah biasa, namun ia adalah pusat beli belah untuk komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 5:19 PM