Mohd Roji Kawi

Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 menyumbang kepada penurunan kes jenayah indeks dan kemalangan jalan raya di Sarawak sepanjang 2021.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, statistik jenayah indeks di Sarawak menurun 27 peratus atau 1,575 kes iaitu 4,398 kes sepanjang 2021 berbanding 5,874 kes pada 2020.

Beliau berkata, kadar jenayah indeks di Sarawak masih di bawah nilai ambang yang ditetapkan Bukit Aman iaitu 6,802 kes bagi tempoh yang sama.

"Jenayah kekerasan pula mencatatkan 599 kes tahun lalu berbanding 785 kes tahun sebelumnya. Ia menurun 186 kes atau 24 peratus.

"Jenayah harta benda pula merekodkan 3,699 kes tahun lalu berbanding 5,089 kes pada 2020, ia menurun 1,390 atau 27 peratus.

"Penurunan kadar jenayah indeks ini disebabkan tempoh PKP yang menyekat pergerakan orang ramai sekali gus menyukarkan penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan pencapaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Kurangnya kenderaan di jalan raya sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP turut menyumbang penurunan kemalangan sebanyak 11.8 peratus tahun lalu.

Aidi berkata, 14,345 kemalangan jalan raya direkodkan tahun lalu dan ia menurun 1,907 kes berbanding 16,152 kes pada 2020.

Bagaimanapun, Aidi berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mencatatkan peningkatan kes apabila 2,816 kes direkodkan sepanjang 2021, berbanding 1,460 kes bagi 2020.

"Jumlah kerugian yang direkodkan dalam jenayah komersil bagi 2021 adalah RM73.5 juta berbanding RM66.5 juta pada 2020.

"Faktor utama peningkatan kes jenayah komersil ialah, orang ramai yang berada di rumah sepanjang tempoh itu banyak menghabiskan masa melayari Internet.

"Ia menyebabkan mereka mudah terjebak dalam penipuan di laman sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:11 PM