Mohd Roji Kawi


Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di negeri ini sejak 18 Januari lalu menyumbang kepada penurunan kes jenayah bagi tempoh dua bulan pertama 2021.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, penurunan ketara dicatat sehingga 60 peratus atau 1,043 kes pada 1 Januari hingga 28 Februari, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, tempoh itu mencatat 723 kes, berbanding 1,766 kes yang direkodkan tahun lalu iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

"Daripada jumlah keseluruhan itu, jenayah kekerasan menurun sebanyak 50 peratus iaitu 96 kes, berbanding 200 kes tahun lalu.

"Jenayah harta benda pula menurun sebanyak 60 peratus iaitu sebanyak 627 kes berbanding 1,966 kes tahun lalu," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, daerah ini menunjukkan penurunan sebanyak 63 peratus iaitu 176 kes berbanding 477 kes tahun lalu; Miri 115 kes berbanding 327 kes sebelumnya; Padawan sebanyak 110 kes berbanding 243 kes dan Sibu mencatat 94 kes berbanding 230 kes tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, tiga daerah mencatat peningkatan iaitu Limbang dengan lapan kes berbanding enam kes tahun lalu; Saratok naik 18 kes berbanding 15 kes tahun lalu dan Julau naik satu kes.

"Walaupun peningkatan itu membabitkan angka yang kecil, kita perlu melihatnya dengan serius.

"Namun, penurunan kes jenayah dengan peratusan yang dicatatkan di seluruh negeri memang ada kaitan dengan PKPB akibat wabak Covid-19, kerana orang ramai tidak dibenarkan merentasi zon serta kawalan ketat yang dilaksanakan pasukan keselamatan," katanya.

Mengenai kejadian seorang tahanan remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol oleh seorang tahanan lelaki di Balai Polis Pusat Miri, pada 9 Januari lalu, Aidi berkata, dua anggota yang bertugas ketika kejadian sudah dituduh di mahkamah, manakala 11 lagi termasuk pegawai kanan masih menunggu keputusan lembaga tatatertib Bukit Aman.

"Kes sudah diserahkan ke Bukit Aman dan hanya menunggu tindakan sama ada mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan Senior Asisten Komisioner Lukas Aket menerima tugas selaku Ketua JSJ Sarawak daripada pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali.

DATUK Aidi Ismail diantara SAC Lukas Aket (kanan) dan Pemangku KJSJ Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali, di IPK Kuching, Jalan Badruddin. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Aidi Ismail diantara SAC Lukas Aket (kanan) dan Pemangku KJSJ Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali, di IPK Kuching, Jalan Badruddin. FOTO Nadim Bokhari

Lukas pernah mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak sebelum berpindah ke Johor untuk mengetuai jabatan sama pada 2016.

Sebelum lantikan itu, Lukas adalah Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) JSJN, Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 3:11 PM