Wartawan Harian Metro

Georgetown: Seorang pembantu gerai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan mendera anaknya yang berusia antara lima hingga 14 tahun di kediaman mereka di Mutiara Idaman, Jelutong di sini, tahun lalu.

Mohd Faizal Abdul Kudus, 42, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rosee Mohd Radzuan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan isterinya, Ummu Nabilah Md. Ehwan, 42, yang juga warga Singapura, tahun lalu.

Tertuduh yang bekerja di Pasar Tun Saardon itu dituduh di dua Mahkamah Sesyen berasingan kerana mendera dengan cara menyebabkan kecederaan ke atas tubuh dan mengabaikan kesihatan enam kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di 1B-G-4, Mutiara Idaman, Solok Tengku, Jelutong di sini antara Januari hingga Disember 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mencederakan isteri, Mohd. Faizal dituduh mencederakan isterinya di bahagian leher dan badan di kediaman sama, antara Januari hingga Disember tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raiz Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukry memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan mendera dan mencederakan kanak-kanak adalah serius.

MOHD Faizal (kanan) mengaku tidak bersalah ketika hadir di Mahkamah Sesyen Georgetown terhadap tujuh pertuduhan mendera anaknya yang berusia berusia antara lima hingga 14 tahun di kediaman mereka di Mutiara Idaman, Jelutong tahun lalu. FOTO Mikail Ong
MOHD Faizal (kanan) mengaku tidak bersalah ketika hadir di Mahkamah Sesyen Georgetown terhadap tujuh pertuduhan mendera anaknya yang berusia berusia antara lima hingga 14 tahun di kediaman mereka di Mutiara Idaman, Jelutong tahun lalu. FOTO Mikail Ong

Bagaimanapun peguam tertuduh, Md Yusuf Md Idris memohon mahkamah membenarkan jaminan kepada anak guamnya berdasarkan kepada janji yang dibuat oleh tertuduh yang mana dia tidak akan mendekati mangsa dan saksi penderaan.

Malah katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memohon perintah perlindungan terhadap kanak-kanak berkenaan.

Hakim Mazdi Abdul Hamid dan Hakim Norsalha Datuk Hamzah kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan wang jaminan keseluruhannya berjumlah RM60,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah juga mengenakan syarat syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang mana jika gagal, jaminan akan ditarik balik.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret bagi pertuduhan kes mencederakan isterinya, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil meminta wang jaminan RM4,000 kepada tertuduh namun peguam yang mewakili tertuduh dalam kes itu, Muhamad Asri Abdul Hamid memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berkenaan.

Rosee kemudian menetapkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula semua kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 4:29 PM