GURU melakukan proses pembersihan di Sekolah Kebangsaan Kuala Paya, Segamat yang terjejas banjir ketika tinjauan semalam. FOTO BERNAMA
GURU melakukan proses pembersihan di Sekolah Kebangsaan Kuala Paya, Segamat yang terjejas banjir ketika tinjauan semalam. FOTO BERNAMA
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan apabila 3,161 orang daripada 913 keluarga ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi ini.

Berbanding 8 malam tadi, 3,401 mangsa daripada 969 keluarga ditempatkan di 43 PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, Segamat semakin pulih apabila seramai 1,246 orang daripada 336 keluarga ditempatkan di 19 PPS.

Katanya, ia berbanding seramai 1,448 mangsa daripada 383 keluarga ditempatkan di 22 PPS, malam tadi.

"Dua daerah yang turut mencatatkan penurunan adalah Tangkak iaitu 678 orang daripada 206 keluarga di sembilan PPS, pagi ini, berbanding 682 orang daripada 207 keluarga di sembilan PPS, malam tadi.

"Muar turut berkurangan kepada 1,107 mangsa daripada 337 keluarga di 10 PPS, pagi ini, berbanding 1,141 mangsa daripada 345 keluarga di 10 PPS, malam tadi.

"Batu Pahat masih kekal dengan jumlah 130 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di dua PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, tiga PPS yang tutup iaitu Balairaya Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Mensudut Lama, Surau Al Muhtadeen dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Besar, di Segamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 8:46 AM