Mangsa banjir dari Taman Kota Jaya dan rumah kedai Jalan Tambatan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
Mangsa banjir dari Taman Kota Jaya dan rumah kedai Jalan Tambatan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Tinggal 14 pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir dibuka di lima daerah di negeri ini setakat jam 4 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia berbanding 16 PPS yang beroperasi bagi menempatkan keseluruhan 1,422 mangsa pagi tadi.

Katanya, dua PPS yang ditutup itu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Aris Bendahara, di Kluang dan Balairaya Kampung Perpat, di Kota Tinggi.

"Jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan kepada 1,259 orang daripada 324 keluarga, pada petang ini, berbanding 1,422 orang daripada 363 keluarga pagi tadi.

"Kota Tinggi bertambah baik dengan hanya tinggal 185 orang daripada 50 keluarga ditempatkan di empat PPS, berbanding 223 orang daripada 59 keluarga pagi tadi.

"Mersing juga mencatatkan penurunan dengan 335 orang daripada 89 keluarga ditempatkan di lima PPS, berbanding 350 orang daripada 93 keluarga pada pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, Kluang juga menurun kepada 578 orang daripada 137 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala Johor Bahru dan Segamat masih mencatatkan jumlah yang sama iaitu keseluruhan 161 orang daripada 48 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 4:43 PM