Pasukan penyelamat dari pelbagai agensi membantu memindahkan mangsa banjir berikutan hari ketiga pusat bandar ditenggelami air di daerah Kota Tinggi di Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pasukan penyelamat dari pelbagai agensi membantu memindahkan mangsa banjir berikutan hari ketiga pusat bandar ditenggelami air di daerah Kota Tinggi di Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 7,947 orang membabitkan 2,196 keluarga sehingga jam 8 malam ini, berbanding 7,460 orang daripada 2,095 keluarga pada jam 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di enam daerah terjejas banjir di negeri ini.

"Kota Tinggi terus mencatatkan penambahan mangsa banjir daripada 4,678 orang daripada 1,282 keluarga pada jam 4 petang tadi kepada 4,705 mangsa daripada 1,289 keluarga yang berada di 26 PPS di daerah itu.

"Turut mencatatkan penambahan mangsa banjir adalah Johor Bahru yang kini mencatatkan seramai 1,753 orang daripada 473 keluarga berbanding 1,006 mangsa daripada 270 keluarga pada petang tadi.

"Semua mangsa banjir di Johor Bahru masih ditempatkan di 12 PPS yang beroperasi," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kluang pula mencatatkan pengurangan mangsa banjir daripada 1,592 orang (494 keluarga) petang tadi kepada 1,306 mangsa (385 keluarga) malam ini.

Katanya, jumlah PPS yang beroperasi di Kluang juga berkurangan daripada 13 buah kepada sembilan PPS.

"Setakat jam 8 malam, Kulai, Segamat dan Pontian masih kekal dengan jumlah mangsa banjir yang direkodkan dari petang tadi iaitu Kulai seramai 86 orang daripada 23 keluarga di satu PPS, Segamat dengan 75 mangsa daripada 21 keluarga di empat PPS, manakala Pontian dengan 22 orang daripada lima keluarga yang berada di sebuah PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 9:37 PM