GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lalu tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi, sama ada mereka memiliki masalah kesihatan atau sebab lain.

Beliau berkata, 10 daripadanya membabitkan warganegara manakala tujuh lagi bukan warganegara.

"Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom dengan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi," katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Khairy, siasatan awal KKM mendapati 122 kes positif Omicron selepas masuk ke Malaysia dengan 14 peratus atau 17 kes tiada vaksinasi.

"Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan," katanya.

Khairy juga berkata, jumlah kumulatif varian Omicron dalam kes positif Covid-19 yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak 245 kes dengan 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah.

Beliau berkata susulan itu, Jemaah Menteri semalam telah mengarahkan penangguhan sementara bagi aktiviti umrah selama sebulan bermula 8 Januari ini untuk membolehkan penilaian risiko dijalankan sebelum kebenaran mengerjakan ibadah tersebut dilaksanakan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 7:17 PM