GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Ketidakjujuran sebilangan jemaah umrah memalsukan status vaksinasi memberi impak besar bukan sahaja kepada diri sendiri malah menyebabkan imej Malaysia terpalit dengan perbuatan mereka.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, isu paling besar dapat dilihat ia memberi risiko kepada individu terbabit kerana vaksin sebenarnya untuk mengurangkan komplikasi jika dijangkiti virus Covid-19.

"Jika mereka tidak jujur dengan memalsukan status vaksinasi dan kemudiannya pergi ke luar negara dalam kumpulan yang ramai maka mereka meletakkan risiko kepada diri sendiri.

"Malah tindakan mereka yang menunaikan umrah tanpa divaksinasi juga akan menjadikan reputasi dan nama baik Malaysia terpalit dan memberi kesan kepada kerajaan Arab Saudi," katanya kepada Harian Metro.

Hanafiah berkata, dibimbangi sikap tidak jujur jemaah umrah itu juga menyebabkan kerajaan Arab Saudi mungkin akan menyenarai hitam Malaysia selepas ini dan tidak membenarkan rakyat kita melakukan umrah.

"Jadi, jika hendak menunaikan umrah ikutlah garis panduan ditetapkan kerajaan kerana sifat tidak jujur akan memberi impak kepada diri sendiri dan kesukaran kepada jemaah umrah lain selepas ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan terdapat jemaah umrah yang dijangkiti varian Omicron tidak menerima sebarang suntikan vaksin dan dibenarkan pergi mengerjakan ibadah itu.

Khairy berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada mereka yang tidak divaksinasi terbabit, adalah disebabkan faktor kesihatan atau memang enggan divaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 4:52 PM