Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis Kedah mengeluarkan 397 saman terhadap pengguna jalan raya dalam Op Khas Sempena Tahun Baru, malam tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara kesalahan dilakukan antaranya lesen memandu tamat tempoh, lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, penggunaan lampu HID dan lain-lain kesalahan teknikal.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

"Banyak saman berkaitan cukai jalan tamat tempoh dikesan, mungkin disebabkan mereka masih menganggap tak perlu lagi bayar cukai jalan, namun sebenarnya buat masa sekarang cukai jalan perlulah dibayar.

"Selain itu, kita dapati kebanyakan pemandu e-hailing pun ada yang cukai jalan kenderaannya tak dibayar, jadi ini akan menyebabkan jika berlaku kemalangan dan sebagainya akan menyebabkan tak dapat membuat tuntutan kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Op Khas Ambang Tahun Baru 2022 di bandar raya ini, malam tadi.

Kamarul Zaman (dua kanan) memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Kamarul Zaman (dua kanan) memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Kamarul Zaman berkata, semua kesalahan itu diambil tindakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Memandu Secara Melulu Dan Merbahaya), Seksyen 45A (1) APJ 1987 (Memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dalam badan) dan Seksyen 186A Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas).

Beliau berkata, objektif utama operasi adalah mengurangkan kadar kemalangan, terutama kemalangan maut selain penguat kuasaan terhadap samseng jalanan yang menjalankan aktiviti lumba kereta dan motosikal.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) sambutan ambang Tahun Baru 2022 di Dataran Bandar Alor Setar mendapati kebanyakan pengunjung mematuhi SOP untuk mencegah penularan Covid-19.

Katanya, kebanyakan pengunjung datang bersama keluarga memakai topeng pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 2:30 PM