PENDUDUK kampung meninjau keadaan pangkal jambatan yang mengalami runtuhan tebing FOTO Hazira Ahmad Zaidi
PENDUDUK kampung meninjau keadaan pangkal jambatan yang mengalami runtuhan tebing FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Hampir 5,000 penduduk dari lima kampung di Melor, di sini, berhadapan kesukaran apabila jambatan di kampung berkenaan tidak selamat digunakan susulan berlaku runtuhan tebing sejak dua tahun lalu.

Lima kampung itu ialah Kampung Sri Kulim, Kampung Padang Raja, Kampung Tasek, Kampung Mahligia, dan juga Kampung Bukit Kechik.

Penghulu Mukim Padang Raja, Fadli Shah Ismail, 48, berkata jambatan Sri Kulim sepanjang 30 meter itu menjadi penghubung utama serta jalan alternatif sekiranya lima kampung berkenaan mengalami banjir.

"Bagaimanapun, lebih membimbangkan adalah runtuhan tebing sungai menjadi semakin teruk terutama apabila hujan dan paras air sungai boleh mencecah lebih 10 meter selain arus yang deras.

"Pada masa sama, keadaan jambatan juga terlalu sempit dan tidak boleh digunakan oleh kenderaan besar selain ada besi penghadang yang sudah patah.

"Justeru, saya berharap agar jambatan ini dapat dilebarkan atau dibina baru serta mempunyai ciri-ciri keselamatan supaya tidak rosak atau runtuh semasa musim hujan sehingga mengancam nyawa penduduk," katanya.

Penduduk lain Isham Ibrahim, 50, berkata dalam kejadian banjir pada Disember tahun lalu, penduduk di kampung ini pernah terperangkap susulan jambatan yang menjadi jalan alternatif ketika musim banjir ditenggelami air.

"Kebiasaannya apabila hujan lebat berterusan sehingga tempoh dua hari, jambatan konkrit ini akan ditenggelami air sungai.

"Pada masa sama, jambatan sempit ini juga menjadi laluan bagi pemindahan bagi anggota keselamatan menyelamatkan penduduk yang terperangkap banjir," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berhubung perkara itu dan tindakan segera akan diambil.

"Saya sudah mengarahkan kakitangan untuk meninjau keadaan di jambatan berkenaan bagi mengumpul maklumat awal.

"Kami akan mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan penduduk kampung terutama ketika musim banjir," katanya ketika dihubungi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 2:58 PM