Siti Rohana Idris

Tumpat: Kira-kira 15,000 penduduk di lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor, di sini, bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.

Tinjauan yang dilakukan di Kampung Kubang Sawa, Naga Ibu, Pohon Nibong, Bendang Pak Yong dan Kuala Jambu mendapati air semakin melimpah, di mana penduduk dijangka berpindah bila-bila masa.

Sejak berlaku limpahan air dari Sungai Golok mulai petang semalam, majoriti penduduk sudah bersedia, malah penduduk yang tidak terjejas turut mengeluarkan bot masing-masing untuk membantu pemindahan mangsa sekiranya keadaan semakin buruk menjelang malam ini.

Penduduk Kampung Pohon Nibong, Razali Isa, 63, berkata setiap tahun dia akan menggunakan tiga botnya untuk membantu pihak berkuasa bagi proses memindahkan mangsa banjir di lebih 10 kampung itu.

"Petang ini saya sudah mengeluarkan semua bot ke tepi bendang yang seakan sungai kerana air sudah melimpah masuk dan menenggelamkan sawah padi.

"Bermula petang semalam, air memasuki kawasan kampung sekitar dan sehingga petang ini semakin berlaku peningkatan paras air dan dijangka akan bertambah teruk menjelang malam ini," katanya.

KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail (kanan) bersama penduduk meninjau keadaan air banjir di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail (kanan) bersama penduduk meninjau keadaan air banjir di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail meninjau beberapa lokasi banjir di pinggir Sungai Golok di Pengkalan Kubor.

Raja Arisan berkata, berdasarkan bacaan paras air di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, ia menunjukkan peningkatan dan mungkin akan terus meningkat menjelang malam ini.

"Penduduk berhampiran dinasihatkan berwaspada, selain memberi respons segera sekiranya diarahkan berpindah.

"Kita mengalu-alukan penduduk yang ingin membantu pihak berkuasa memindahkan mangsa banjir, tapi perlu menitikberatkan aspek keselamatan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:17 PM