GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seorang lelaki dan wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian samun di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berlaku pada 7.30 malam ketika pengadu yang bekerja sebagai jurujual kedai jam didatangi pelanggan lelaki.

Katanya, suspek dilihat pada masa kejadian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memakai pelitup muka, membawa beg galas warna hitam dan dua plastik warna putih dan hijau di tangan kanan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kali terakhir suspek dilihat berjalan kaki keluar menuju ke jejantas Abdullah Hukum.

"Buat masa ini, seorang wanita berusia 41 tahun dan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ditahan.

"Polis turut merampas telefon bimbit jenama Redmi berwarna hitam berserta kad sim bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, saksi awam lain yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan.

Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:58 PM