PELBAGAI bantuan dihulurkan kepada mangsa banjir di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PELBAGAI bantuan dihulurkan kepada mangsa banjir di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Lapan keluarga membabitkan 26 mangsa banjir di daerah Jasin masih berada di satu pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat 8 pagi hari ini, mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu Benteng, Jasin.

"Kawasan masih terjejas banjir di negeri ini hanya membabitkan Kampung Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang dan Kampung Tersusun Rambai Jaya di Jasin.

"Semua PPS lain sebelum ini sudah ditutup dengan PPS terakhir ditutup membabitkan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China bagi daerah Alor Gajah pada Ahad lalu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam Pembentangan Bajet 2022 Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka di Seri Negeri, semalam turut menjelaskan kerajaan negeri memperuntukkan RM931.2 juta bagi mengurangkan bencana banjir di Melaka.

Beliau dilaporkan berkata, ia membabitkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) iaitu di RTB Krubong-Durian Tunggal berjumlah RM600 juta, RTB Sungai Duyong (RM163.80 juta), RTB Bandar Jasin (RM60 juta), RTB Sungai Melaka Fasa 1 (RM40 juta), RTB Merlimau (RM36 juta)dan RTB Alor Gajah Fasa 1, (RM30 juta).

Menurutnya, Projek RTB Krubong-Durian Tunggal membabitkan Kolam Dwi-Fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air dengan ia juga pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 10:40 AM