KEADAAN halaman rumah beberapa mangsa di Sungai Rambai masih digenangi air 'banjir termenung' sejak seminggu lepas ketika tinjauan semalam. FOTO Bernama
KEADAAN halaman rumah beberapa mangsa di Sungai Rambai masih digenangi air 'banjir termenung' sejak seminggu lepas ketika tinjauan semalam. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Situasi banjir di Melaka kian pulih selepas hanya 16 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat jam lapan pagi ini hanya 16 mangsa masih ditempatkan PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Jasin.

Katanya, kawasan terjejas adalah Kampung Kampung Parit Penghulu, Kampung Lanchang dan Kampung Tersusun Rambai Jaya di daerah Jasin.

Menurutnya, situasi berkenaan disebabkan air yang belum surut di kampung terbabit.

Sementara itu beliau berkata, APM Melaka akan sentiasa bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang masih berlaku sekarang sehingga awal tahun depan.

Katanya, selain melakukan kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, pihaknya turut melaksanakan kerja-kerja pasca banjir termasuk membersihkan rumah mangsa yang terkesan akibat musibah itu.

"Malah APM Melaka turut melakukan aktiviti pembersihan di beberapa rumah di daerah Alor Gajah dan Jasin.

"Kita juga turut melaksanakan kerja sanitasi di rumah yang terkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 2:06 PM